Pengarah Urusan Kumpulan Belleview, Dato Sonny Ho berkata, Aman Central berkeluasan kasar 1.25 juta kaki persegi itu bakal menjadi pusat beli-belah terbesar di negeri ini dan tarikan baharu kepada pelancong termasuk dari Perlis dan selatan Thailand.

Beliau berkata, pusat beli-belah enam tingkat dengan dilengkapi 1,700 tempat letak kereta itu dapat memenuhi keperluan rakyat negeri ini kerana menempatkan lebih 330 kedai dengan hampir 90 peratus telah disewakan.

“Sebanyak 80 peratus daripada penyewa merupakan jenama baharu dan Aman Sentral akan diterajui oleh Parkson, Sam’s Groceria dan Golden Screen Cinema (GSC). Selain itu, terdapat jenama baharu di bandar ini antaranya, H&M, Uniqlo, Padini, Concept Store, Pandora, Nando’s, Starbucks Coffee, The Coffe Bean & Tea Leaf, Baskin Robbins dan CHI Fitness.

“Tarikan utama nanti juga adalah Aman Walk, sebuah kawasan terbuka yang direka khas dengan dua tingkat tempat duduk bagi memberi kesempatan pengunjung untuk menikmati pemandangan Menara Alor Setar yang indah dan menakjubkan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas sesi lawatan pusat beli-belah tersebut di sini semalam.

Yang hadir sama dalam sesi lawatan itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad.

Dalam pada itu, Sonny berkata, kewujudan pusat beli-belah yang menelan kos perbelanjaan kasar sebanyak RM500 juta itu dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini melalui peluang perniagaan dan komersial di Aman Central yang secara tidak langsung akan menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat serta mencipta sebanyak 5,000 peluang pekerjaan.

Pada masa sama, projek pembangunan ikonik tersebut mampu mengukuhkan status Alor Setar sebagai sebuah bandar percutian dan keseronokan dalam menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Untuk makluman, Kumpulan Belleview telah memenangi anugerah dalam kategori Pembangunan Peruncitan, Malaysia melalui Aman Central yang dalam Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2015-2016,” katanya.

Sementara itu, Mat Noh berkata, isu berhubung pembinaan surau menggantikan di atas tapak Madrasah Salihiah dianggap selesai kerana dua buah surau yang dapat menampung kapasiti 400 jemaah, masing-masing satu di luar dan satu lagi di tingkat lima.

Jelasnya, surau yang terletak di luar Aman Sentral itu akan dibuka selama 24 jam bagi membolehkan orang ramai menunaikan solat selain disertakan dengan kawalan keselamatan daripada pihak pengurusan.

“Saya juga telah meminta pihak pemaju agar membuat pindaan sedikit kepada surau berkenaan dengan meletakkan cermin di bahagian wanita dan perkara itu akan diberi perhatian tidak lama lagi,” katanya.

News-Utusan-2015-08.28

Utusan – 28 August 2015