Jasamu dalam kenangan

BIARPUN orangnya sudah tiada, namun jasa yang disumbangkan dijadikan kenangan buat rakyat Kedah. Meskipun hanya mentadbir Kedah sepenggal (2008-2013), sumbangan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Azizan amat bernilai.

Beberapa mercu tanda yang diilhamkan ketika era pentadbirannya mulai tersergam. Antara yang menjadi kebanggaan termasuk, Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil; Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Kulim; serta Aman Central di tengah-tengah bandaraya.

Walaupun pencetus idea projek mega terbabit tidak sempat melihat hasil pembangunan itu, namun rakyat Kedah kini dapat menikmati manfaatnya.

Sempena dua tahun pemergian Allahyarham (26 September 2013), majlis bacaan Yasin dan pengisahan dianjurkan bagi mengenang jasa beliau membangunkan Kedah dan parti, di Muassasah Darul Ulum.

Azizan umpama arkitek corakkan parti, negeri

Pengisahan pertama dimulakan bekas Setiausaha Akhbar, Mohd Helmi Khalid yang menyingkap penglibatan awal Ustaz Azizan dalam politik.

“Ustaz Azizan dibawa pulang untuk bertanding Dun Sala (Sungai Limau) pada 1995 selepas bersara sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Memegang jawatan Setiausaha Perhubungan sebelum dilantik Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, kemudian
diminta menggantikan Datuk  Fadzil Noor sebagai Pesuruhjaya,” katanya.

Tahun 2008 menjadi detik bersejarah apabila beroleh kemenangan tidak dijangka, menyaksikan Pas mentadbir Kedah dan Ustaz Azizan bergelar Menteri Besar Pas yang pertama.

“Biarpun status bertukar, Allahyarham tetap sama, mudah didekati. Walaupun menerajui negeri, Allahyarham masih ingat ada ketua di atasnya, tidak pernah menyalahguna kuasa yang ada,” katanya, yang memulakan tugas lima hari selepas Pas membentuk Kerajaan Kedah (13 Mac 2008).

Masih terpahat dalam ingatan Mohd Helmi, kata-kata tegas Ustaz Azizan ketika diberikan amanah.

“Helmi, kalau hang mai kerja dengan niat nak tolong parti, tolong kerajaan, tolong rakyat dan tolong aku, hang kerja elok-elok. Tapi kalau hang niat nak kaya, nak kenai taukeh besar, nak meniaga, hang boleh keluar la ni jugak,” kata Allahyarham.

Ini menunjukkan seriusnya Ustaz Azizan dalam mengurus negeri yang mahukan komitmen, keikhlasan dan kejujuran daripada pekerjanya.

“Arahan yang mudah, namun perlu amanah! Ustaz Azizan tak suka buang masa dan gemar membaca tidak kira di mana. Allahyarham ibaratkan kemajuan dan tamadun manusia datangnya dari rakyat berilmu. Ketika bersembang kosong sekalipun, Allahyarham akan kaitkan apa yang berlaku dengan ayat al-Quran dan surah Rasulullah SAW/sahabat,” katanya.

Kata-kata Allahyarham penuh pengertian, antaranya; pemain bola sepak yang baik bukan hanya boleh menjaringkan gol, tetapi mesti bijak membuat hantaran pada rakan sepasukan.

Hati Allahyarham ada kalanya tersentuh apabila berita-berita tidak enak dipaparkan mengenai pentadbiran mahupun dirinya, namun sekadar berkata; “Saya tak harap wartawan puji saya, yang saya harapkan, tulisan yang betul tentang saya dan Kedah”.

Mohd Helmi berkata, hatinya turut sebak apabila Ustaz Azizan meminta maaf kepada pegawainya yang kehilangan kerja selepas kekalahan PRU13.

Azizan dan pendidikan berpisah tiada     

Ustaz Azizan bergelumang dengan kesusahan sejak usia muda menyebabkan Allahyarham berdikari setelah bergelar anak yatim ketika berusia 11 tahun.

Seperti diceritakan bekas Setiausaha Politiknya, Muhammad Sanusi Md Nor, Allahyarham sedar hanya ilmu mampu mengubah nasib keluarganya, disebabkan itu Ustaz Azizan menitikberatkan pendidikan.

“Allahyarham menyambung pengajian ke Universiti Al Azhar dalam bidang Syariah wal Qanun, empat rakyat Malaysia mengikuti kursus itu dan hanya Allahyarham berjaya menamatkan pengajian pada masa ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, Ustaz Azizan amat peka dengan isu pendidikan dan mahu Kedah muncul sebagai hab pendidikan, selain rakyat Kedah beroleh manfaat daripada pembangunan pendidikan.

“Pusat Bahasa Darul Ulum dicetuskan Allahyarham yang mahu melihat rakyat Kedah menguasai bahasa asing, yang kini dalam pembinaan. Selepas berjaya kembangkan Kuin, selain Maahad Tahfiz Sains Darulaman,” katanya.

Puluhan tahun sepanjang hidupnya, Ustaz Azizan bekerja tanpa henti dan tanpa jemu, bercuti tidak sekali apatah lagi melancong ke luar negara bersama keluarga.

“Apabila Ustaz Azizan kurang sihat, disuruh bercuti, ini jawapannya: “Kita penat kerja di waktu singkat, kita akan berehat di waktu yang panjang. Singkat itu di dunia, akhirat waktu yang panjang.”

Bekas pensyarah ini juga kaya dengan perumpamaan dan bidalan yang dicetuskan sendiri berdasarkan cerapan pengalamannya.

“Banyak bidalan dan kiasan, berkisarkan kepada haiwan tetapi menggambarkan sikap manusia. Kita yang dekat dengannya, kenalah sentiasa peka dan faham maksud tersirat, biasanya mencuit hati dan kelakar,” katanya.

Antara bidalan yang dikongsi, ‘Macam kucing tua tepi pintu’, maksudnya, jangan hidup ibarat kucing tua, apabila orang masuk dia langut tengok, orang keluar dia langut tengok, tidak dipedulikan.

‘Seperti ayam jantan basah kuyup kena hujan’, maksudnya, mengundang simpati orang supaya dikasihani.

‘Seperti anjing bising sekampung berebut tulang’, maksudnya, bila anjing kampung lain datang berebut, diligannya anjing luar sebelum berebut dan bising semula. Merujuk pihak luar usah campuri hal dalaman pihak lain.

Walaupun Ustaz Azizan ‘chengei’ orangnya, namun hatinya lembut dan mudah tersentuh berkaitan isu kemiskinan dan kesusahan rakyat.

“Sebab itulah, Allahyarham sanggup potong elaun dan gaji, RM15,000 sebulan, disumbang kepada parti, petugas parti, kawasan termasuk Tabung Pendidikan Tengku Mahmud. Sumbangan berkala untuk program, sumbangan peribadi, serta bantuan tetap kepada keluarga bekas pimpinan Pas,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat diamalkan, sehingga perincian perbelanjaan wang sama ada dana parti atau negeri dipersoal walaupun seringgit.

Sinar Harian – 30 September 2015

Source: Sinar Harian

<< Back to Belleview in the news